Tuesday, November 20, 2007

Kaedah ‘ranking’ tempatan IPT kembalikan peranan sebenar

POLEMIK kualiti graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) begitu hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini, yang mengundang pelbagai pihak untuk tampil memberi pandangan. Universiti yang sepatutnya menjadi penjana modal insan menjadi sasaran dakwaan gagal melahirkan graduan yang bukan saja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai sahsiah serta jati diri terpuji.
Pelbagai faktor mungkin saling berkait jika mahu membincangkan isu ini. Dari isu kualiti pelajar memasuki universiti hingga kepada tenaga akademiknya serta dasar kerajaan menentukan hala tuju sistem pendidikan pengajian tinggi itu sendiri.
Universiti kini berperanan tidak ubah sebagai ‘kilang’, demikian pandangan Datuk Prof Dr Zaini Ujang, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Peranan itu lebih ketara bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Sebagai kilang, tugas utama universiti ialah mengeluarkan graduan diperlukan bagi pasaran kerja meliputi pelbagai bidang.
“Sejak kebelakangan ini, skop bidang diperlukan berkehendakkan kemahiran teknikal yang tinggi, terutama dalam jurusan kejuruteraan, perubatan, bioteknologi dan teknologi maklumat,” kata.
Bagaimanapun, Zaini berkata, memandangkan perkembangan dalam bidang berkenaan begitu pantas, universiti terpaksa ‘mengejar’ kepesatan perubahan itu supaya proses pembelajaran dan pengajaran pelajar lebih relevan dengan perkembangan terkini.
“Dalam keadaan sedemikian, aspek lain seperti kematangan berfikir, perkembangan sahsiah, daya kepemimpinan, budaya intelektual, kemahiran insaniah di kalangan pelajar yang seharusnya terangkum dalam pendidikan bersepadu itu kadangkala tidak menonjol sepanjang pengajian di universiti,” jelasnya.
Dalam tempoh pengajian yang singkat iaitu tiga atau empat tahun, tumpuan ketika sesi pengajian lebih diberikan kepada aspek pembangunan akademik, kemahiran teknikal dan amalan profesional.
“Tugas selanjutnya adalah menjadi tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kolej Kediaman (pastinya dengan kerelaan dan inisiatif pelajar sendiri) yang menyediakan iklim pembelajaran dan sosial diperlukan pelajar untuk pengembangan minda, kepemimpinan, sahsiah dan rohani,” tambah Zaini.
Zaini berpandangan bahawa universiti yang pada satu ketika begitu disegani kerana melahirkan ramai golongan elit kini lebih berperanan sebagai institusi pendidikan biasa seperti ‘sekolah tinggi’ untuk sesiapa saja yang berkeinginan dan berkelayakan.
Justeru, katanya, pendidikan diberikan adalah pendidikan biasa, tanpa terikat kepada keperluan melahirkan graduan memenuhi ciri elit dan citra ‘menara gading’ iaitu terbaik dan tersohor.
“Ia mungkin mudah difahami kerana sifat dan proses sesebuah universiti memberi kesan langsung kepada menghasilkan graduan dengan ciri tertentu. Bagaimanapun, jika universiti itu sebuah universiti elit ia sudah tentu akan melahirkan pelajar elit yang mempunyai semua ciri dari segi intelektual, kemahiran, insaniah, kepemimpinan dan keterampilan,” jelasnya.
Mungkin masanya sudah tiba untuk Kementerian Pengajian Tinggi memberikan ‘ranking’ kepada universiti atau IPT. Langkah itu dilihat sebagai wajar kerana negara memerlukan menara gading atau kelompok universiti elit bagi mendefinisikan status dan kualiti pengajian tinggi di Malaysia.
Zaini memberi contoh universiti elit seperti Harvard, MIT (Massachusetts Institute of Technology) di Amerika Syarikat serta Oxford dan Cambridge di Britain yang mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri.
Antaranya termasuk, jumlah pelajar yang sedikit, profesor ternama, sistem pengajian berorientasi tradisi serta biaya yang besar.
Kebanyakan universiti itu jelasnya, menjurus kepada pendidikan liberal dan pembinaan insan yang mempunyai wawasan menerusi pelbagai program akademik dan persekitaran kampus yang mementingkan inovasi dan intelektualisme.
“Aspek teknikal dan profesionalisme bukan menjadi persoalan pokok, malah dalam jurusan tertentu, termasuk perundangan dan kejuruteraan, ia dikuliahkan secara asas teori saja.
“Oleh itu, tidak hairan ramai pelajar di Cambridge dan Oxford misalnya, masih mengikuti jurusan ilmu lama seperti falsafah sejarah, politik, ekonomi, kimia, biologi, matematik dan perundangan. Sehingga kini, kursus paling popular ialah gabungan politik, falsafah dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, bagi profesor dan pendokong universiti elit, permintaan pasaran kerja bukan persoalan pokok dan relevan.
“Apa mereka tumpukan ialah proses pembelajaran menjurus kepada persoalan pokok kehidupan yang akhirnya melahirkan manusia sejagat yang boleh memahami isu kemasyarakatan dan pembangunan dari perspektif pelbagai,” tambahnya. – Bernama

No comments: