Tuesday, November 20, 2007

Lima Faktor Mantapkan Status Universiti Tempatan


Oleh Prof Dr Zaini Ujang
SEKTOR pengajian tinggi kita sekali lagi dikejutkan apabila World University Rankings (WUR) 2005 oleh QS Quacquarelli Symonds and Evidence Ltd dari Britain, menempatkan Universiti Malaya (UM) pada tangga ke-169, berbanding 89 pada 2004.
Kali ini, sebuah lagi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) terkeluar daripada senarai 200 universiti terbaik dunia dan IPT lain, walaupun mendakwa bertaraf dunia, nampaknya masih belum menyinar. Banyak persoalan dan kemusykilan yang timbul menerusi laporan WUR 2005 dalam The Times Higher Education yang diterbitkan di London baru-baru ini. Ada di antara kita yang begitu protektif dengan menegaskan pencapaian UM sebenarnya semakin baik dari segi markah, walaupun kedudukannya menjunam sekali ganda.
Bagaimanapun, ramai juga yang reaktif, khususnya beberapa bekas pelajar UM dan USM yang dilaporkan media meminta kerajaan melaksanakan tindakan drastik untuk memulihkan imej pengajian tinggi di Malaysia. Apapun reaksi kita, masih banyak yang perlu kita mantapkan dan laksanakan untuk membolehkan universiti kita berada sebaris dengan universiti yang ketika ini menjadi jenama pengajian tinggi seperti Harvard, Oxford dan Cambridge.Sebenarnya, ada lima persoalan pokok yang perlu ditangani segera.
Pertama, konsep dan penanda aras kualiti. Semua pihak mungkin bersetuju jika dikatakan kualiti adalah teras kepada pengajian tinggi dan penanda aras utama dalam WUR. Kualiti dalam konteks pengajian tinggi menjurus kepada proses dan budaya pemantapan ilmu dalam komuniti akademia, termasuk profesor, penyelidik, pelajar dan staf sokongan. Hal ini sangat signifikan yang membabitkan keupayaan setiap pelopor bidang (biasanya profesor) menguasai bidang pengkhususan masing-masing pada tahap tertinggi yang diiktiraf rakan sejawatan di serata dunia. Persoalannya, apakah penanda aras seseorang profesor atau pensyarah itu sudah mencapai tahap tertentu?
Pada pengamatan saya, sehingga hari ini persoalan ini masih agak kabur dalam konteks pengurusan kualiti pengajian tinggi di Malaysia.Ada yang berpendapat pencapaian itu seharusnya diukur menerusi kelayakan akademik dan profesional. Maknanya, seseorang pensyarah perlu mendapat ijazah PhD dan status Jurutera Profesional dalam konteks kejuruteraan sebagai contoh bagi menunjukkan keupayaannya menguasai sesuatu bidang ilmu. Apakah itu mencukupi?Ada pula yang berpendapat kualiti berkait rapat dengan proses kerja seperti dilakukan menerusi ISO dan prosedur seumpamanya. Persoalannya, apakah nama-nama besar dalam senarai 200 universiti terbaik 2005 itu mempunyai ISO? Malah, Oxford sebelum ini pernah bercadang melaksanakan prosedur kualiti seumpama ISO tetapi mendapat bangkangan keras komuniti akademik di universiti tertua di England itu. Namun tanpa ISO, Oxford tetap antara lima universiti terbaik dunia.Justeru, apakah penanda aras kualiti yang diterima pakai oleh kebanyakan universiti yang tersenarai dalam 200 terbaik itu? Apakah penanda aras itu sama dengan enam kriteria yang digunakan untuk merangka WUR?
Isu kedua ialah kebebasan akademik. Dalam konteks semasa, kebebasan akademik bermakna keputusan berkaitan pembangunan dan perancangan bidang akademik seharusnya bebas daripada pengaruh politik, birokrasi yang terlalu mengongkong, partisan, individualisme dan egoisme. Dalam akademia, nilai ilmu sepatutnya menjadi neraca teratas dalam menentukan setiap keputusan, sama ada dari segi penentuan arah dan strategi pemantapan bidang, kepemimpinan akademik dan hal berkaitan seperti kenaikan pangkat dan pengurusan sumber.
Kebebasan akademik di Malaysia memang subur, tetapi masih jauh berbanding universiti ternama apabila profesor diberi mandat sepenuhnya dan kebebasan menguruskan sendiri disiplin ilmu dan dana dalam bidang yang mereka terokai.Mereka tidak perlu mendapat keizinan Naib Canselor terlebih dulu untuk memberi kuliah perdana, menghadiri persidangan antarabangsa atau menjadi perunding kerajaan di luar negara, apatah lagi keizinan Kementerian Pengajian Tinggi!
Malah, perjanjian mengenai geran dan dana penyelidikan peringkat antarabangsa adalah antara profesor berkenaan dengan pihak terbabit, bukan dengan pentadbir universiti dengan keizinan Lembaga Universiti dan diluluskan Menteri Pengajian Tinggi seperti yang kita amalkan.Hal ini nampaknya isu kecil bagi sesetengah pihak yang tidak aktif dalam penyelidikan, penerbitan dan komuniti saintifik, tetapi ia memberi kesan besar kepada pengurusan sumber dan masa di kalangan akademik tempatan. Kadangkala, sebahagian besar masa diperuntukkan untuk mengurus dan mengendali proses mendapat kelulusan, bukan untuk melaksanakan program dan projek penyelidikan.Mungkin inilah antara faktor utama menyebabkan ramai profesor senior di universiti tempatan tawar hati untuk terus menjadikan bidang penyelidikan sebagai teras aktiviti kerjaya kerana pelbagai kekangan birokrasi dan prosedur melelahkan.
Sebagai penyelidik, seseorang itu sebenarnya berada pada tahap terbawah dalam proses kerja dan hirarki sesebuah universiti di Malaysia, walaupun bergelar profesor. Maka ramai yang mencari jalan keluar sama ada dengan menjadi pentadbir atau pengurus akademik dengan hal remeh-temeh itu tidak lagi dilakukan, malah dibekalkan pula dengan pelbagai kemudahan dan status yang jauh lebih lumayan.Isu ketiga ialah kualiti pelajar. Semua universiti ternama hanya menerima kemasukan pelajar cemerlang untuk mengikuti pelbagai program akademik ditawarkan.
Pelajar cemerlang adalah ‘bahan mentah’ terbaik untuk menghasilkan produk berkualiti bagi sesebuah universiti. Ketika ditanya kepada seorang profesor tersohor dari Harvard mengenai rahsia universiti itu berjaya memartabatkan reputasinya sebagai sebuah universiti terbaik dunia, jawabnya: “Calon pelajar Harvard adalah di kalangan yang cemerlang. Jika tidak mengikuti kuliah pun mereka boleh lulus dengan cemerlang di Harvard!”Ini bermakna, tanpa pelajar cemerlang, sukarlah universiti tempatan menandingi Harvard atau Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang menerima ribuan pelajar cemerlang dari serata pelosok dunia.
Penghantaran pelajar cemerlang Malaysia ke universiti luar negara juga secara tidak langsung memberi isyarat negatif bahawa universiti di Malaysia masih jauh ketinggalan dan hanya sesuai untuk mereka yang kurang cemerlang.Oleh itu, dicadangkan supaya semua pihak khususnya pengurus dana dan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara, mengambil pendekatan lain menguruskan pelajar cemerlang. Objektifnya adalah serampang dua mata dengan memanfaatkan pelajar cemerlang yang ada untuk meningkatkan lagi kualiti sumber manusia khususnya di universiti tempatan dan menjadikan universiti tempatan lebih cemerlang dari segi pencapaian dan reputasi.
Strateginya adalah dengan menawarkan pakej biasiswa dan peluang kerjaya terbaik kepada pelajar cemerlang untuk belajar di universiti tempatan, misalnya pakej geran RM100,000 termasuk program musim cuti dan perpindahan kredit di universiti ternama luar negara setiap tahun.
Isu keempat ialah memanfaatkan program pengantarabangsaan. Pengantarabangsaan dalam konteks akademik berkait rapat dengan persefahaman antara pelopor sesuatu bidang dalam aspek kerjasama penyelidikan, penerbitan, penganjuran seminar dan mesyuarat saintifik serta pertukaran pelajar pasca-siswazah melakukan penyelidikan dalam dua keadaan berbeza. Bagaimanapun, saya mencadangkan supaya program pengantarabangsaan dilakukan lebih berhemah kerana jangan sampai kita digolongkan sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, apatah lagi dengan Harvard, MIT, Cambridge dan Oxford.
Isu kelima ialah faktor rakan sejawatan pada peringkat antarabangsa. Tidak seperti kerjaya lain, kerjaya akademik bergantung kepada penilaian rakan sejawatan dari segi kenaikan pangkat, penerbitan dalam jurnal dan persidangan, pemilihan sebagai editor jurnal dan pengerusi persidangan.
Oleh itu, pandangan rakan sejawatan dalam bidang yang sama perlu diambil kira dengan serius oleh pihak pengurusan universiti, khususnya dari segi kenaikan pangkat. Di Malaysia, ada kecenderungan di kalangan pentadbir beberapa universiti baru tidak mengambil kira pandangan rakan sejawatan dari universiti lain untuk kenaikan pangkat ke tahap profesor. Jika ini tidak dilakukan, kita terlepas peluang untuk mendapat pengiktirafan pertama dari segi kelayakan akademik. Ia juga menyebabkan seseorang profesor baru ‘tidak muncul’ dalam arena kerana kehadirannya tidak diketahui atau tidak diiktiraf oleh tokoh dalam bidang berkenaan.
Saya yakin jika penilaian rakan sejawatan dijadikan faktor utama khususnya dari segi kenaikan pangkat, seperti dilakukan semua universiti ternama di luar negara, status dan reputasi akademik di Malaysia akan lebih menyerlah.Kelima-lima faktor ini perlu dimantapkan di Malaysia. Memang ada universiti kita yang sudah melaksanakan sebahagian besar cadangan ini, tetapi ia perlu terus disuburi, dihayati dan dibudayakan.Sesungguhnya, enam kriteria yang digunakan dalam merangka WUR 2005 iaitu penilaian rakan sejawatan, nisbah pensyarah kepada pelajar, rujukan kepada penerbitan, jumlah staf asing, jumlah pelajar asing dan pendapat majikan adalah manifestasi kepada satu proses pembudayaan ilmu yang mantap dalam sesebuah universiti.
Untuk berada pada tangga atas dalam senarai 200 universiti terbaik, kita tidak boleh mengambil jalan pintas seperti memberi tumpuan dan meningkatkan angka serta peratus terhadap enam kriteria dinilai. Dengan strategi demikian, kita sebenarnya bukan meningkatkan kualiti pengajian tinggi, sebaliknya meningkatkan kedudukan dalam senarai WUR yang pastinya tidak akan bertahan lama. Teras kualiti pengajian tinggi ialah budaya ilmu yang sebenarnya tidak akan dapat dihitung dengan nombor atau angka, tetapi dapat dirasakan dengan penghayatan dan iltizam sepanjang hayat.
Penulis ialah Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA) di Universiti Teknologi Malaysia dan Editor Jurnal Water Science & Technology (London)

No comments: