Thursday, December 25, 2008

Ubat Tiruan: Murah tapi Merana

Ubat Tiruan: Murah tapi Merana

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

GERAM rasanya membaca laporan akhbar mengenai rampasan ubat tiruan yang tidak sudah-sudah. Ada saja pihak tidak bertanggungjawab yang mahu untung cepat tanpa memikirkan risiko bakal dialami pesakit apabila memakan ubat tiruan yang diseludup masuk ke negara ini.

Perniagaan ubat tiruan berlaku di seluruh dunia, termasuk negara kita. Ia merangkumi 10 peratus daripada bekalan ubat dunia yang membabitkan RM70.4 bilion dan dianggarkan akan terus berkembang pada kadar 13 peratus setahun jika tiada usaha mengekangnya.

Apa yang dikatakan ubat tiruan? Ubat tiruan mempunyai bentuk dan warna hampir sama dengan ubat asli tetapi berbeza kandungan bahan aktifnya. Ubat tiruan bukan saja merugikan wang pengguna, bahkan boleh mengancam kesihatan dan nyawa.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ubat tiruan ialah ubat yang:

  • Tercemar. Ubat tercemar ialah produk asal yang dicampur dengan bahan lebih rendah mutunya atau tidak diluluskan
  • Mengandungi bahan aktif atau bahan kimia yang salah
  • Tidak mengandungi bahan aktif langsung
  • Jika ada bahan aktif, kuantitinya mungkin tidak tepat, sama ada terlalu sedikit atau banyak
  • Mempunyai rasa, konsistensi, rupa yang berlainan atau memberi tindak balas fizikal berbeza apabila dimakan
  • Dibungkus dalam bungkusan berbeza. Namun dalam kebanyakan kes, perbezaan pembungkusan ubat tiruan sukar dilihat
  • Tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan

    Bahan aktif ialah formula kimia yang menyebabkan sesuatu ubat itu berkesan. Ubat tiruan boleh membahayakan kesihatan jika ia mengandungi berlebihan bahan aktif atau dicampurkan benda asing yang tidak diketahui kesannya kepada badan.

    Malah pengusaha ubat tiruan mungkin memasukkan bahan beracun ke dalam ubat. Bahan beracun ini boleh menyebabkan penyakit atau keadaan seseorang pesakit bertambah teruk, walaupun mereka mendakwa mengambil ubat secara teratur.

    Sebagai contoh, pesakit tekanan darah tinggi akan tetap mengalami masalah tekanan darah melebihi paras normal jika mengambil ubat tiruan kerana kuantiti bahan aktif di dalam ubat berkenaan tidak cukup untuk memberi kesan.

    Bagaimana untuk mengetahui kita mengambil ubat tiruan? Sama ada ubat diambil tidak berkesan atau pesakit mengalami kesan sampingan yang tidak dijangka, alahan atau penyakit menjadi lebih teruk.

    Sebenarnya payah untuk membezakan antara ubat asli dan tiruan. Pengusaha ubat tiruan sentiasa mengikuti perkembangan dan meniru secermat mungkin pembungkusan ubat asli. Justeru, beli ubat anda daripada farmasi berdaftar, dipercayai dan pakar perubatan saja.

    Jika anda dapati ada perbezaan pada bungkusan, rupa fizikal, rasa dan warna ubat, hubungi pengeluar ubat untuk mengesahkan sama ada mereka mengeluarkan bungkusan baru. Jika tidak, ubat itu mungkin palsu.

    Cara mengelak membeli ubat tiruan:
  • Beli ubat daripada farmasi berdaftar atau pakar perubatan saja
  • Usah terpengaruh jika ada pihak menawarkan produk pada harga murah
  • Usah beli jika bungkusannya mencurigakan atau sudah dibuka
  • Periksa tanda label pada produk
  • Baca dan periksa label pada bungkusan
  • Periksa sebarang perubahan pada bungkusan dengan ubat yang anda sudah beli
  • Jangan sekali-kali beli ubat melalui Internet atau telefon
  • Pastikan ubat berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan mempunyai hologram
  • Usah beli ubat daripada kedai runcit, kedai kopi, kedai ubat tradisional yang tidak berlesen, gerai tepi jalan atau ejen jualan langsung
    Gunakan budi bicara anda. Pilih ubat yang selamat iaitu disokong kajian saintifik, kerana ujian ini dilakukan ke atas ramai pesakit di seluruh dunia dalam pelbagai keadaan. Malah kesan sampingan ubat juga termasuk dalam kajian.

    Waspada jika ada pihak menawarkan ubat ajaib dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang hanya disokong oleh testimoni pengguna.

    Ini kerana reaksi setiap orang terhadap sesejenis ubat adalah berbeza. Ubat yang sesuai untuk individu A mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada anda, walaupun kedua-duanya mengalami masalah kesihatan sama.

    Untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap bahaya ubat palsu, Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd menerbitkan buku panduan anti-ubat tiruan dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina.

    Menurut Pengarah Serantau Keselamatan Global Pfizer, Dave Campbell, buku panduan berkenaan mengandungi banyak maklumat mengenai bahaya ubat tiruan dan langkah berjaga-jaga dalam bentuk soal jawab yang mudah difahami.

    Buku panduan percuma itu boleh diperoleh dari mana-mana klinik dan farmasi. Pembaca juga boleh menghantar e-mel ke malaysia_counterfeiting@pfizer.com untuk mendapatkan satu salinan buku panduan.

    Jika anda curiga pada mana-mana produk atau ada maklumat mengenai ubat tiruan, sila hubungi Jabatan Perkhidmatan Farmaseutikal di talian 03-7968 2200 atau hantar e-mel ke pharmacy1@moh.gov.my.


  • No comments: